Sunday, February 14, 2010

TV3 25 Inspirasi Hidupku - Fakta Yang Hilang

SAHABAT lama, Farah Jamsari menghulurkan saya senaskah buku ulangtahun ke-25 TV3. Cantik buku itu. Bila diamati kandungannya banyak yang silap. Banyak fakta yang tertinggal. Maklumlah yang buatnya bukan orang lama TV3. Ingatkan saya seorang saja yang perasan, ramai lagi rakan-rakan termasuk perantara TV3 menyedari kelemahan buku yang bolehlah disifatkan sebagai 'memutarbelitkan fakta' atau 'fakta palsu' yang tidak berpijak di bumi nyata. Barang diingat fakta adalah fakta. Ia adalah sejarah yang akan digunapakai oleh generasi muda. Kesan ke atas pembaca adalah besar, apabila penulis menulis apa yang meraka tidak tahu, tidak faham atau tidak mengikuti catatan sejarah dengan betul. Sebagai bekas warga TV3 - saya malu dengan buku yang turut menyiarkan catatan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad. Masih segar dalam ingatan nasihat bekas bos saya di Berita Harian - Datuk A Kadir Jasin 'sebagai wartawan apabila menulis kamu harus baca dan semak berulang-kali apa yang dikarang, jika tidak fakta kamu akan menimbulkan keraguan kepada pembaca..."

Saturday, January 16, 2010

LANGKAWI MASIH KOTOR?

Kata Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen Pulau Langkawi masih kotor. Itu mungkin ada benarnya. Tetapi kenyataan beliau ibarat 'meludah ke langit'. Masa ini bukan nak tuding jari siapa salah, siapa betul. Sebenarnya semua pihak patut memikirkan apa yang tak kena dengan industri pelancongan di Bumi Mahsuri. Status Bandaraya Pelancongan membuatkan Langkawi terlalu cepat dengan pemasaran tetapi pengisiannya lemah. Banyak premis yang dah lingkup dan tidak diselenggara dengan baik. Banyak sampah tak dikutip. Kini perlu semua pihak duduk semeja memikirkan kembali apa yang patut dibuat bagi meletakkan industri pelancongan Pulau Langkawi di atas landasan yang betul.Kena ada satu badan. mungkin Langkawi Tourism Board bagi merancang, memantau dan menyelenggara ini semua. Buat betul-betul. Lebih serius, bukan macam main 'masak-masak'. Bukan ad-hoc. Jika tidak Ng Yen Yen akan 'meludah ke langit' lagi sekali.

Wednesday, October 28, 2009

Suarasa Kedah.

JUMAAT dan Sabtu ini di perkarangan Stdium Darulaman, lagi sekali Suarasa TV9 bersiaran di Negeri Jelapang Padi. Selain pelbagai aturcara atau aktiviti, ramai rakyat Kedah menanti wawancara saya dengan YAB Dato' Seri Haji Azizan Razak, Menteri Besar Kedah. Apa pula cerita 'Ustaz Azizan' kali ini. Pasti ada cerita menarik yang mahu dikhabarkan. Sebelum ini saya sudah wawancara Menteri Besar Kelantan dan Menteri Besar Selangor. Dan kali ini giliran Kedah pula. Jangan lupa tonton Suarasa Kedah kalau ingin mengetahui kepala ekor topik perbualan kami Jumaat ini.

Jambatan Kontot?

ALKISAH ada sebuah jambatan di Pulau Langkawi menyeberangi Sungai Kuah. Jambatan ini kontot atau pendek sekali tetapi ambil masa terlalu panjang untuk siap. Bahkan tak siap-siap lagi. Terbengkalai. Dah macam-macam kontraktor khabarnya. Kata orang kampung jambatan tu lompat pun lepas, tetapi masih liat atau berhantu untuk disiapkan. Orang kuat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi tau jambatan itu akan diberi 'nafas baru' awal Ogos lalu dan penuh yakin akan siap kata LADA sebelum Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima'09). Habuk pun tak ada. Kata CgMan Pendek la ni tumbuh pokok balak pulak di kiri dan kanan jambatan itu. Pelancong ke Pulau Langkawi jangan lepaskan peluang bergambar atas jambatan kontot dan ambil masa paling panjang (mungkin pecah rekod dunia) untuk disiapkan. Khabar terbaru katanya, urusan menyiapkan jambatan itu diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Betulka. Kalau betul baguslah, kita tengok apa jadi Apapun yang saya nak tahu, yang rakyat nak tahu sekarang, siapa punya angkara semua ini. Pasai apa boleh jadi macam tu. Cuba habag mai. Dan tak payahlah kita dok kalut cakap pasai jambatan panjang dari Kuala Perlis ke Telok Apau (Pulau Langkawi) kalau yang kontot tu pun susah sangat nak siap.

Sunday, September 6, 2009

Kereta Sewa Pandu Sendiri Haram

Ini terus menghantui industri pelacongan Pulau Langkawi. Masa depan pemandu teksi yang berpersatuan mahu dijaga. Periuk nasi pengusaha pelancongan juga hendak diambilkira. Penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya menjalankan tugas. Menegakkan undang-undang. Seperti kata sahabat lama saya Datuk Mat Solah - Ketua Pengarah JPJ - mencari rezeki biar secara halal. Bukan merompak. Istilah digunapakai beliau. Sahabat saya Azlie Halim menulis dalam Sinar Harian, walaupun tidak berpihak tetapi seolah-olah menempelak tindakan JPJ. Matta Kedah pimpinan Sdr Fisol juga 'bengang' dengan tindakan ini yang disifatkan beliau boleh tutup periuk nasi. Manakala Pengerusi Persatuan Teksi Sdr Saad nyata lega dengan ketegasan JPJ. Kini semua saling menuding jari. Apapun bagi saya isu ini bukan perkara baru dan akan berlarutan. Percayalah, kerana semua beranggapan mereka betul...

Saturday, September 5, 2009

Dari Masjid Ke Masjid

Sempena bulan Ramadan ini Nasi Lemak Kopi O (NLKO) memperkenalkan segmen baru - dari masjid ke masjid. Malam pertama Ramadan saya ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putra Jaya. Selepas itu ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta. Dan baru lepas Masjid Putra, Putra Jaya. Minggu depan ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Terengganu. Rata-rata muslimin dan muslimat ghairah beribadat. Ramadan disemarakkan. Masjid diimarahkan. Oh Tuhan terlalu banyak yang KAU limpahkan, namun sedikit yang terdaya aku balas...

sanusi junid

Dah lama tak jumpa Tan Sri Sanusi Junid dan isteri Puan Sri Nila Inangda Manyam Keumala Nigrat serta famili. Petang tadi berbuka bersama mereka di Restoran Wan Thai, Pokok Asam, Langkawi. Turut serta kira-kira 90 kenalan lama yang disifatkan Sanusi sebagai 'kawan-kawan yang dirindui'. Turut serta Adun Kuah Dato Ir Nawawi dan Adun Ayer Hangat Sdr Mohd Rawi. Bertemu Sanusi ibarat bersua dengan sebuah perpustakaan. Macam-macam bahan sedia untuk ditatap dan dijamah. Semua menjadi santapan minda. Sanusi membisikkan sesuatu ke telinga saya ' apa pandangan you terhadap MAYC (Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia) sekarang?'. Dalam hati saya menjawab 'MAYC sedang diusung dalam keranda jenazah...'