Sunday, September 6, 2009

Kereta Sewa Pandu Sendiri Haram

Ini terus menghantui industri pelacongan Pulau Langkawi. Masa depan pemandu teksi yang berpersatuan mahu dijaga. Periuk nasi pengusaha pelancongan juga hendak diambilkira. Penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya menjalankan tugas. Menegakkan undang-undang. Seperti kata sahabat lama saya Datuk Mat Solah - Ketua Pengarah JPJ - mencari rezeki biar secara halal. Bukan merompak. Istilah digunapakai beliau. Sahabat saya Azlie Halim menulis dalam Sinar Harian, walaupun tidak berpihak tetapi seolah-olah menempelak tindakan JPJ. Matta Kedah pimpinan Sdr Fisol juga 'bengang' dengan tindakan ini yang disifatkan beliau boleh tutup periuk nasi. Manakala Pengerusi Persatuan Teksi Sdr Saad nyata lega dengan ketegasan JPJ. Kini semua saling menuding jari. Apapun bagi saya isu ini bukan perkara baru dan akan berlarutan. Percayalah, kerana semua beranggapan mereka betul...

Saturday, September 5, 2009

Dari Masjid Ke Masjid

Sempena bulan Ramadan ini Nasi Lemak Kopi O (NLKO) memperkenalkan segmen baru - dari masjid ke masjid. Malam pertama Ramadan saya ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putra Jaya. Selepas itu ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta. Dan baru lepas Masjid Putra, Putra Jaya. Minggu depan ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Terengganu. Rata-rata muslimin dan muslimat ghairah beribadat. Ramadan disemarakkan. Masjid diimarahkan. Oh Tuhan terlalu banyak yang KAU limpahkan, namun sedikit yang terdaya aku balas...

sanusi junid

Dah lama tak jumpa Tan Sri Sanusi Junid dan isteri Puan Sri Nila Inangda Manyam Keumala Nigrat serta famili. Petang tadi berbuka bersama mereka di Restoran Wan Thai, Pokok Asam, Langkawi. Turut serta kira-kira 90 kenalan lama yang disifatkan Sanusi sebagai 'kawan-kawan yang dirindui'. Turut serta Adun Kuah Dato Ir Nawawi dan Adun Ayer Hangat Sdr Mohd Rawi. Bertemu Sanusi ibarat bersua dengan sebuah perpustakaan. Macam-macam bahan sedia untuk ditatap dan dijamah. Semua menjadi santapan minda. Sanusi membisikkan sesuatu ke telinga saya ' apa pandangan you terhadap MAYC (Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia) sekarang?'. Dalam hati saya menjawab 'MAYC sedang diusung dalam keranda jenazah...'

Friday, September 4, 2009

Langkawi Banjir

Entah kenapa jadi begitu. Macam-macam alasan dan teori diberikan oleh pelbagai pihak. Memang ada alasan yang masuk akal. Dulu Pulau Langkawi tidak pernah atau hampir jarang banjir, tetapi kini ia berlaku. Hukum alam dan kuasa Tuhan. Namun kita manusia kalau cega menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing, kejadian yang memalukan dan pelik ini boleh dielakkan. Atau setidak-tidaknya diminimumkan. Satu caranya tengok-tengoklah selalu segala parit, longkang, terusan atau apa saja saluran air di seluruh pulau ini. Di situ mungkin ada jawapan kenapa Langkawi banjir. Hmmm..